Pengendali skuad Sang Badak, Steve Vilmiaire, berkata beliau masih belum memutuskan kesebelasan utamanya bagi menghadapi musim baharu Liga Malaysia yang akan membuka tirainya pada 20 Januari depan.

Jurulatih berusia 31 tahun itu berkata kesemua pemain dalam pasukan masih berpeluang untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama, namun mereka perlu membuktikan kebolehan mereka.

"Setiap pemain perlu membuktikan kepada saya jika mereka berasakan berhak untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama.

"Saya perlukan barisan pemain terbaik apabila kami memulakan kempen Liga Perdana bertemu Negeri Sembilan pada 20 Januari nanti, ia adalah perkara utama bagi saya," katanya ketika ditemui di Kota Kinabalu, semalam.

Dalam perkembangan lain, Vilmiaire berkata beliau akan melakukan beberapa perubahan terhadap barisan pemain yang diturunkan dalam aksi persahabatan bertemu Sarawak di Kuching, Ahad lalu, bagi perlawanan pra-musim seterusnya bertemu PKNS di Stadium Likas, Sabtu ini.

"Ia satu pengalaman yang bagus ketika bertemu Sarawak kerana saya dapat melihat kelemahan serta beberapa kekuatan yang ada pada pasukan.

"Saya akan melakukan beberapa perubahan dalam perlawanan persahabatan bertemu PKNS, mungkin dari segi corak permainan dan mungkin juga saya akan mencuba beberapa pemain baharu, termasuk daripada skuad bawah 21 tahun," katanya.