Pemain pertahanan Pasukan Hoki Terengganu (THT), Jiwa Mohan, menyahut cabaran pihak pengurusan untuk membolot semua empat trofi Liga Hoki Malaysia (LHM) musim ini.

THT kini memburu trofi kedua selepas menjulang  Piala Tan Sri P. Alagendra semalam, iaitu Piala Sumbangsih, dengan menentang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) di Kuala Terengganu, Jumaat ini.

Skuad kendalian Sarjit Singh akan melayan kunjungan KLHC di kubu kuat mereka, Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu dengan misi menambah trofi kedua dalam tempoh seminggu.

Ironinya, prestasi THT tidak begitu baik dalam Piala Sumbangsih apabila tewas tiga musim berturut-turut di tangan KLHC sebelum ini.

Jiwa Mohan, bagaimanapun, tetap yakin dengan misi empat trofi mampu dicapai pada musim ini.

"Kami cuba untuk memberikan fokus kepada satu demi satu gelaran. Misi utama kami adalah untuk memenangi empat trofi musim ini. Satu sudah berjaya kami raih, jadi kami akan memberikan fokus pada perlawanan Jumaat ini," katanya.

Juara Piala Sumbangsih tiga edisi berturut-turut, KLHC, jelas masih mencari persefahaman antara pemain import dan tempatan.

Kecewa selepas tewas di tangan THT dalam aksi separuh akhir Piala Tan Sri Alagendra baru-baru ini, skuad itu bagaimanapun, akan cuba mencalar ego THT di Kuala Terengganu.

"Semangat juang yang dipamerkan pasukan ketika tewas dalam perlawanan separuh akhir Piala Tan Sri Alagendra menunjukkan kami sudah bersedia menghadapi cabaran pertama musim ini berdepan THT di Kuala Terengganu," kata penolong jurulatih KLHC, Mohd Harfizi Baharom.