Pasukan Thailand, THA 72, terus mempamerkan penguasaan dalam kategori racing, Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi 2017 apabila mendominasi dua perlumbaan, hari ini.

Tiupan angin yang mencecah 12 knot serta cuaca baik di sekitar Pulau Langkawi membolehkan ketua pegawai perlumbaan, Simon James, untuk mengadakan dua pusingan perlumbaan.

THA 72, yang juga pencabar baru pada edisi kali ini, terus mempamer prestasi yang cemerlang di sekitar perairan Pelabuhan Kuah apabila mendahului pasukan lain.

Tha 72 secara keseluruhan memperoleh dua mata, diikuti pasukan dari Hong Kong, Black Bazza, dengan lima mata serta Emagine dari Australia di tempat ketiga dengan enam mata.

"Kami sangat gembira dengan keputusan hari ini. Kami mengakhiri saingan di tempat pertama dalam dua perlumbaan dan memberikan keselesaan buat pasukan kami," kata jurumudi Tha 72, Don Whitcraft.

Sementara itu, wakil negara, Uranus, terus bergelut untuk menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan.

Meskipun Uranus berjaya mengatasi pasukan pilihan, Oi dari Australia, dalam perlumbaan tiga dengan menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan 1 jam 46 saat, namun momentum itu tidak dapat diteruskan dalam pusingan seterusnya.

"Peluang masih ada buat kami kerana masih memiliki enam perlumbaan yang mampu mengubah nasib kami. Saya berharap angin akan membantu kami dalam perlumbaan akan datang," kata jurumudi pasukan Uranus, Hairunizam Hat.