Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) bertekad untuk mempertahankan Piala Sumbangsih apabila bertemu Terengganu Hockey Team (THT) dalam aksi pembuka tirai Liga Premier, Jumaat ini.

Penolong jurulatihnya, Mohd Harfizi Baharom berkata dia tidak mahu barisan pemainnya mensia-siakan peluang itu sebagai menebus kehampaan terkandas dalam separuh akhir Piala Tan Sri P. Alagendra di tangan THT yang kemudian dinobat sebagai juara dengan menewaskan Maybank dalam aksi final semalam.

Namun, ia pasti bukan tugas mudah kerana KLHC bakal berdepan penyokong setia THT di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu.

"Sudah pasti misi kali ini adalah untuk mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali keempat berturut-turut.

"Tahun lalu, kami juga berdepan THT di gelanggang lawan. Harap perkara sama akan berulang pada Jumaat," katanya.

Jelas Mohd Harfizi, kecuali Rashid Baharom, kesemua pemainnya sudah bersedia untuk memenuhi misi itu.

"Rashid mengalami kecederaan buku lali ketika bertemu THT dalam separuh akhir Piala Tan Sri Alagendra," katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, pemain berpengalaman THT, Jiwa Mohan, berkata kejayaan menjulang Piala Tan Sri Alagendra meningkatkan lagi semangatnya serta rakan sepasukan untuk memburu kejuaraan lain, termasuk Piala Sumbangsih.

"Memang kami berharap dapat meraih semua empat piala yang dipertandingkan pada tahun ini.

"Tapi kami perlu melalui satu persatu perlawanan terlebih dulu. Kini kami sudah memenangi satu piala dan harap dapat meraih satu lagi apabila bertemu KLHC, Jumaat ini.

"Tapi saya yakin ia bukanlah satu tugas yang mudah kerana lawan juga adalah juara bertahan dan antara pasukan pilihan musim ini.

"Ia berlaku pada musim lalu apabila kami tewas kepada KLHC untuk perebutan piala yang sama di halaman sendiri," katanya.

Jadual Perlawanan Liga Premier

13 Januari


THT lwn KLHC, 8.30pm (Std Hoki Batu Burok)

TNB lwn TNB Thunderbolt, 4.00pm (Std Hoki Pantai)

UiTM KPT lwn Maybank, 6pm (Std Hoki KPM)

UniKL lwn SSTMI, 6pm (Std Hoki Pantai)