Kapten Manchester City,  Vincent Kompany, kembali menjalani latihan penuh bersama pasukan utama susulan masalah kecederaan yang berlarutan. 

Kompany yang sering dilanda masalah kecederaan dalam beberapa musim kebelakangan ini, kali terakhir turun untuk City pada November lalu, membabitkan aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Crystal Palace. 

Ketika permainan menuju waktu rehat dalam kemenangan 2-1 di Selhurst Park itu, Kompany bertembung dengan penjaga golnya sendiri, Claudio Bravo, dan terjatuh sehingga mengakibatkan lututnya tercedera. 

Pemain pertahanan tengah Belgium itu terpaksa berlatih sendirian untuk mengembalikan kecergasannya dan mengambil bahagian dalam sesi latihan bersama rakan sepasukannya di Akademi Bola Sepak City, semalam. 

Pengurus pasukan, Pep Guardiola, berkata dia akan mempertimbangkan pembelian pada Januari ini untuk memperkukuhkan bahagian pertahanan biarpun pemain sasaran mereka, Holger Badstuber, telah menyertai Schalke secara pinjaman sehingga hujung musim ini dari Bayern Munich. 

City bakal berdepan Everton di Goodison Park dan Guardiola turut mengalu-alukan kepulangan Leroy Sane dan Fernando dalam sesi latihannya. 

Pemain sayap, Sane, sebelum ini diketepikan akibat keletihan sejak menjaringkan gol pertamanya bersama kelab ketika menentang Arsenal bulan lalu manakala pemain tengah bertahan, Fernando, terlepas tiga aksi sebelum ini akibat masalah yang tidak didedahkan.