Kritikan sesetengah pihak terhadap kejayaan Mohd Faiz Subri yang memenangi Anugerah Puskas FIFA 2016 mencetus rasa kurang senang Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Pada awalnya, Faiz diasak dengan pertanyaan wartawan yang merujuk kepada pihak yang ragu-ragu dengan kejayaannya merangkul anugerah gol tercantik itu.

"Terpulang kepada mereka yang hendak berkata apa-apa kerana saya telah memberikan yang terbaik," kata Faiz dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA) hari ini sekembalinya dari Zurich.

Khairy, bagaimanapun, mencelah dan menjawab isu itu bagi pihak Faiz, dengan merujuk kepada pihak terlibat hanya pandai bercakap tanpa menilai terlebih dahulu kejayaan yang dibawa pemain Pulau Pinang itu.

"Pada pendapat saya, sesiapa yang memberikan kritikan dan kecaman terhadap Faiz tidak pernah memenangi anugerah di peringkat dunia. Mereka harus melihat kepada pengiktirafan yang diberikan kepada Faiz," katanya.

Tambahnya, kejayaan Faiz sedikit-sebanyak mengubat kesuraman sukan bola sepak yang semakin hilang punca, terutama di peringkat kebangsaan.

"Jarang sekali kita mendapat berita yang positif dalam sukan bola sepak Malaysia tetapi sinaran emas dalam sukan ini apabila Faiz menerima anugerah gol tercantik di dunia di depan pemain-pemain terbaik di dunia," katanya lagi.

Jaringan menakjubkan yang membawa kepada kemenangan itu dilakukan Faiz ketika mengambil sepakan percuma untuk membantu skuad Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari tahun lepas.

Pemain Portugal, Cristiano Ronaldo, adalah penerima pertama anugerah itu pada 2009, disusuli pemain Turki, Hamit Altintop (2010), Neymar dari Brazil (2011), pemain Slovakia, Miroslav Stoch (2012), pemain Sweden, Zlatan Ibrahimovic (2013) dan James Rodriguez dari Colombia (2014). 

Pada 2015, pemain tidak terkenal dari Brazil, Wendell Lira, yang bermain untuk Club Goianesia, menjadi pemenang anugerah itu. 

Anugerah itu mengambil sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang mencipta kejayaan besar bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan kehebatan pasukan Hungary pada era itu.