Timbalan Presiden, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah, berkata badan induk itu akan mempertimbangkan jaringan tercantik dijadikan kategori baru dalam majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan selepas ini.

Sempena kejayaan Mohd Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas FIFA 2016, Afandi tidak menolak satu lagi kategori akan diusulkan dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan untuk penganjuran akan datang.

Kategori itu dianggap sebagai penghargaan buat Faiz yang meletakkan namanya sebaris dengan bintang dunia lain selepas memenangi anugerah berprestij itu awal pagi semalam.

"Kami berharap dapat mengiktiraf jaringan-jaringan cantik buat Anugerah Bola Sepak Kebangsaan di masa akan datang," kata Afandi dalam sidang media sempena sambutan ketibaan Faiz di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Menurut Faiz, kejayaan itu meningkatkan lagi semangatnya untuk tampil lebih berkesan dalam saingan Liga Malaysia 2017 walaupun mengakui akan ada tekanan selepas mendapat tumpuan semua pihak.

"Ini merupakan kali pertama saya menghadapi perkara ini. Saya mahu memastikan musim 2017 akan menjadi lebih baik buat diri saya," katanya.

Jaringan menakjubkan yang membawa kepada kemenangan itu dilakukan Faiz ketika mengambil sepakan percuma untuk membantu skuad Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari tahun lepas.