Penyerang import baru Kedah, Ken Ilso Larsen, mengakui satu pengalaman berbeza beraksi dengan skuad Helang Merah pada musim ini selepas melihat sambutan luar biasa peminat setia negeri itu dalam setiap perlawanan.

Bekas penyerang skuad bawah 21 tahun Denmark itu berjaya memikat jurulatih, Tan Cheng Hoe, untuk diserapkan bagi menggantikan khidmat pemain pinjaman dari Felda, Thiago Augusto.

Berasa teruja melihat penyokong Kedah yang disifatkan begitu fanatik, Larsen semakin tidak sabar memulakan aksi dalam Liga Malaysia musim ini.

Malah, dia menganggap pengalaman itu antara yang terbaik sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional.

"Selepas menjalani sesi latihan dan perlawanan persahabatan bersama pasukan, semangat yang dipamerkan oleh pasukan dan penyokong Kedah membuat saya teruja dan tidak sabar menantikan saingan Liga Malaysia musim 2017," katanya.

Berusia 30 tahun, Ilso, yang beraksi bersama kelab Singapura, Home United, pada musim 2015 dan 2016, sebelum ini berjaya menjaringkan 41 gol dalam 36 penampilan.

Penanda aras itu membuatkan ramai pihak meletakkan harapan tingi kepada Larsen agar mampu menjadi mesin gol Kedah selepas hampa dengan ketumpulan aksi Carlos Kahe, musim lalu.

"Akan sentiasa ada tekanan di mana-mana saya beraksi, sama ada di Singapura mahupun di Jerman. Saya akan memastikan saya mampu menjaringkan gol buat pasukan saya," tambahnya.

Berusia 30 tahun, Larsen mampu beraksi di dua posisi, sebagai pemain tengah dan juga penyerang.