Pemenang Anugerah Puskas 2016, Mohd Faiz Subri, menerima insentif keseluruhan berjumlah RM150,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Faiz selamat pulang ke tanah air tepat jam 3.20 petang tadi selepas mengharumkan nama negara dalam majlis Anugerah Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), awal pagi semalam.
 
Sempena kejayaannya itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan ganjaran sebanyak RM100,000 manakala FAM melalui timbalan presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah, turut mengumumkan hadiah RM50,000.

Faiz turut menerima penghargaan daripada Malaysia Book of Records sebagai individu pertama dari benua Asia yang mendapat penghormatan berkenaan daripada FIFA.

"Jika ada rezeki di masa akan datang, saya akan terus cuba untuk menghasilkan jaringan-jaringan yang menarik," kata Faiz dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jaringan menakjubkan yang membawa kepada kemenangan itu dilakukan Faiz ketika mengambil sepakan percuma untuk membantu skuad Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari tahun lepas.