"Tiada kelemahan ketara, hanya perlu bijak sempurnakan peluang". Itu yang ditegaskan jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, selepas Malaysia menang 2-0 ke atas Wales dalam aksi persahabatan kedua menjelang pusingan kedua Liga Hoki Dunia Wanita. 

Ia berbeza dengan aksi persahabatan pertama menentang Ireland, Isnin lalu, apabila skuad negara tewas 3-0 dengan hanya lapan pemain utama diturunkan. 

Kali ini, Dhaarma mengubah acuan dengan menguji kesemua pemain utama dan pemain pembangunan. Ternyata, keputusan lebih baik diraih kali ini. 

Cuma, apa yang merisaukan adalah mereka masih buntu dalam menyempurnakan peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol. 

"Ia bukannya satu kelemahan. Kalau pemain mencipta peluang jaringan, itu dikira bagus.

"Untuk menyempurnakannya, pemain perlukan sedikit ketenangan dan kepastian untuk menjaringkan gol. 

"Dalam perlawanan antarabangsa, bukan setiap hari pemain mendapat peluang.

"Dengan peluang banyak yang dilepaskan hari ini, ia satu tanda yang merisaukan," ujar Dhaarma. 

Aksi persahabatan terakhir berdepan Wales sekali lagi esok, Dhaarma enggan mengambil risiko meletakkan pemain utamanya beraksi di bawah cuaca panas. 

"Kami masih memberi dua slot dalam pasukan untuk direbut, sebab itu saya berikan mereka lebih masa."