Pasukan Liga Piala FAM dari Sabah, KDMM FC, bakal diperkuatkan bekas pemain negeri berkenaan bagi menghadapi saingan musim baharu yang dijadualkan bermula Februari depan.

Antara yang disenaraikan termasuk empat pemain dari skuad Liga Perdana Sabah musim lalu, iaitu Rexjeson Pitirus, Shafie Talip, Aldrian Agus serta Felexsius Amil.

Sementara itu, enam lagi adalah pemain yang beraksi bersama skuad Piala Presiden negeri itu musim lalu, iaitu Presley Lim, Rickson Pang Tabias, Klinsmon Aribulan, Mohd Ikhmal Akid, Ahmad Sabri dan Md Zulfadlisham Roseland.

Kesemua mereka adalah antara 23 pemain yang disenarai akhir setakat ini oleh KDMM FC dan pasukan berkenaan juga dikatakan masih mencari dua lagi pemain bagi melengkapkan seramai 25 pemain yang akan didaftarkan.

Presidennya, Datuk Peter Anthony, berkata seramai 25 pemain telah disenarai akhir sebelum ini, namun dua pemain telah menarik diri pada saat akhir kerana komitmen lain, termasuk masalah mendapatkan pelepasan majikan.

"Tidak perlu tergesa-gesa mengisi dua lagi kekosongan kerana kami masih ada masa untuk mendapatkan pemain yang benar-benar sesuai...Kami hanya ambil pemain yang boleh memberi komitmen sepenuhnya kepada pasukan. 

"Seramai 23 pemain yang telah tersenarai sekarang, bagaimanapun, masih perlu melepasi ujian kecergasan dan pemeriksaan kesihatan untuk dapat beraksi kerana ia adalah antara syarat wajib ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya ketika ditemui, di Kota Kinabalu, semalam.

Daripada 23 pemain berkenaan, lapan adalah pemain yang dikekalkan dari skuad musim lalu manakala selebihnya adalah muka baharu.

Pemain yang dikekalkan terdiri daripada dua bekas pemain Sabah, iaitu Mohd Yusri Jamrin dan Hardy Charles Parsi, Josesua Jubin, Rick Marseel Gueh, Azizul Madirin, Mohd Helmi Sudin, Yazili Yunat dan Melky Balang.

"Majoriti pemain yang disenarai akhir itu berusia 30 tahun ke bawah dan mereka telah dikenal pasti daripada beberapa ujian pemilihan di pPedalaman Sabah dan di Kota Kinabalu," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan Andrew Majanggim kekal sebagai pengendali KDMM FC manakala Henry Soimpon juga dikekalkan sebagai pengurus pasukan.

"Latihan pusat telah diadakan sejak awal tahun ini dan setakat ini saya gembira dengan perkembangan serta prestasi yang ditunjukkan mereka.

"Saya percaya kelab ini akan bersedia sepenuhnya apabila memulakan cabaran musim ini, bermula dengan saingan (pusingan kedua) Piala FA di Stadium Likas pada 15 Februari," katanya.

Senarai Pemain KDMM FC 2017: 
Mohd Yusrih Jamrin, Josesua Jubin, Rick Marseel Gueh, Azizul Madirin, Mohd Helmi Sudin, Yazili Yunat, Melky Balang, Hardy Charles Parsi, Rexjeson Pitirus, Felexsius Amil, Shafie Talip, Preesley Lim, Rickson Pang Tabias, Klinsmon Aribulan, Mohd Ikhmal Akid, Ahmad Sabri, Md Zulfadlisham Roseland, Fneckley Baris, Billy Doliente, Mohd Arfiyansah Abdul Jafar, Saiful Sani, Aldrine Agus dan Aldrian Agus.