Terengganu Hockey Team (THT) bangkit untuk menjulang Piala Tan Sri P. Alagendra edisi kedua selepas menewaskan Maybank 5-3 di Stadium Tun Razak, malam ini.

THT, yang dikecewakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam perlawanan separuh akhir tahun lalu, membawa pulang wang hadiah RM70,000 sebagai juara manakala Maybank meraih RM30,000.

“Ia merupakan perlawanan yang menarik. Pemain-pemain bermain dengan baik dan berhak melakar kejayaannya ini.

"Maybank memberikan tentangan sengit tetapi kami berjaya menyerap segala tekanan sebelum memenangi perlawanan," ujar ketua jurulatih THT, Sarjit Singh.

THT, yang memulakan perlawanan sebagai pasukan pilihan, membuka jaringan seawal minit ke-15 menerusi Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil, namun Maybank bangkit menyamakan kedudukan lima minit kemudian hasil percubaan Hafifihafiz Hanafi yang menewaskan penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman.

Bagaimanapun, THT bangkit menerusi dua gol pemain import dari Korea Selatan, Jang Jonghyun, pada minit ke-22 dan 26.

Maybank -- yang menewaskan Universiti Putra Malaysia-KPT 8-1 dalam pusingan pertama, mengetepikan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 2-1 dalam suku akhir dan menyingkirkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 5-1 di peringkat separuh akhir -- mempamerkan prestasi cemerlang dalam suku ketiga perlawanan.

Mereka bangkit menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti strok Man Hyun Woo (minit ke-39) dan gol ketiga Maybank disumbat oleh Hafifihafiz tiga minit kemudian.

Segala usaha keras yang dipamerkan oleh The Tigers musnah apabila THT kembali di hadapan menerusi gol Tengku Ahmad Tajuddin (minit ke-51) dan Jang melengkapkan jaringan hatriknya pada minit ke-58 menerusi pukulan penalti strok .