Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menafikan laporan yang mengaitkan Barcelona dengan Philippe Coutinho dengan menegaskan bahawa dia masih belum bercadang untuk menjual pemain tengahnya itu. 

Tonggak kebangsaan Brazil itu bakal membuat kemunculan semula sejak ditimpa kecederaan pergelangan kaki untuk pertemuan dengan Southampton dalam perlawanan separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL), awal pagi esok. 

Aksi memukau Coutinho itu dilaporkan telah menarik minat Barca, namun Klopp berkata pemain berusia 24 tahun itu akan kekal di Anfield. 

"Kami tidak pernah bercadang atau mengadakan perbincangan mengenai penghijrahannya kerana dia merupakan pemain kami," ujar Klopp kepada akhbar di United Kingdom. 

"Kami tiada perancangan lain, tiada apa yang berubah."

Coutinho menyerlah dan mengharungi kempen cemerlang sebelum ditimpa kecederaan dengan menyumbat lima gol dan mencipta banyak peluang gol dalam 13 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL). 

Klopp berkata kecederaan Coutinho tidak akan memudarkan minat Barca untuk memancing pemain itu. 

"Alangkah bagusnya andai kelab melupakan terus hasrat untuk mendapatkan pemain yang tercedera selama lima atau enam minggu," katanya. 

"Malangnya, kelab besar tidak memikirkan soal ini. Ia bukan kecederaan serius, jadi tiada sebab yang akan menjejaskannya daripada menjadi pemain seperti sebelumnya."

Selepas bertemu Southampton, Liverpool akan bertandang ke Old Trafford untuk pertemuan EPL dengan Manchester United, hujung minggu ini.