"Tiada kelemahan ketara, hanya perlu bijak sempurnakan peluang," demikian tegas jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, selepas Malaysia menang 2-0 ke atas Wales dalam aksi persahabatan kedua di Stadium Hoki Tun Razak, hari ini. 
 
Ia berbeza dengan aksi persahabatan pertama menentang Ireland semalam apabila skuad negara tewas 3-0 dengan hanya lapan pemain utama diturunkan.
 
Kali ini, keputusan lebih baik diraih selepas Dhaarma mengubah percaturan dengan menguji kesemua pemain utama dan pemain skuad pembangunan.
 
Cuma apa yang merisaukan adalah mereka masih buntu dalam menyempurnakan peluang untuk menjaringkan lebih banyak gol.
 
"Kami tidak menghadapi sebarang masalah jika seseorang pemain itu mampu menciptagol. Pemain-pemain ini dilihat sebagai harapan pasukan di bahagian serangan bagi saingan di peringkat antarabangsa," katanya.
 
Skuad negara akan sekali lagi berdepan Wales dalam aksi persahabatan terakhir pada Khamis ini, dengan Dharma enggan mengambil risiko meletakkan pemain utamanya beraksi dalam cuaca panas.
 
"Kami masih berwaspada dengan tahap kecergasan pemain-pemain utama kami. Jadi, kami akan memberi peluang kepada pemain pembangunan untuk mendapatkan pengalaman dalam perlawanan akan datang," tambahnya.