Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, enggan menekan butang panik apabila tewas 3-0 kepada Ireland dalam aksi persahabatan pertama menjelang pusingan kedua Liga Hoki Dunia Wanita pada Isnin.

Hanya lapan pemain utama yang diturunkan manakala selebihnya dibarisi pemain muka baharu.

Ia adalah strategi Dhaarma yang sekadar menganggap ia sebagai aksi pemanas badan kerana tidak mahu skuad lawan membaca permainan sebenar Malaysia.

Ia bonus buat tuan rumah kerana dapat menilai aksi dipamerkan Ireland yang membenam Malaysia 3-0.

"Kami tidak menurunkan pemain-pemain utama kami tetapi kami berjaya melihat kemampuan pasukan Ireland dan berharap akan meningkatkan mutu permainan kami," katanya.

Tambah Dharma, pemain utamanya tidak perlu diuji berlebihan dalam mana-mana aksi persahabatan ketika ini kerana enggan sebarang kecederaan berlaku.

"Kami akan menurunkan pemain-pemain pembangunan dalam perlawanan ketiga yang akan berlangsung pada jam 1.30 petang, dan saya percaya suhu di Malaysia akan memberikan kesukaran kepada mereka."