Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mengesahkan tiada sebarang usaha menarik diri daripada Kelantan kerana pasukan itu telah menghantar senarai lengkap dokumen serta senarai pemain yang diperlukan untuk menyertai Liga Malaysia (Liga M) musim depan. 

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, berkata apa yang dilaporkan media kebelakangan ini tidak seiring dengan tindakan pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA). 

Menurutnya, KAFA telah membuat pengesahan penyertaan pasukan pada 30 November lalu serta menghantar dokumen penting pemain, termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). 

Malah, Kevin berkata KAFA sedang dalam proses pendaftaran minimum 20 pemain dengan tarikh akhir berbuat demikian adalah esok.

"Kami tidak pernah menerima apa-apa makluman rasmi mengenai penarikan diri. 

"Kelantan pun sentiasa memuat naik borang, mengesahkan venue dan mengemas kini status pemain seperti yang mereka lakukan sekarang. 

"Bagi kami, Kelantan adalah sebahagian daripada liga," ujarnya. 

Dalam masa sama, Kevin mengesahkan status perlawanan sulung Liga Super di antara Perak dan Pahang pada 22 Januari di Stadium Perak, Ipoh akan berjalan seperti biasa, iaitu dengan kehadiran penonton. 

Biarpun Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menjatuhkan hukuman pada 2 November lalu dengan mensabitkan Perak untuk beraksi tiga perlawanan tanpa penonton, FMLLP akan berbuat demikian jika menerima arahan rasmi. 

"Kami tidak dapat makluman rasmi daripada FAM. Mereka yang akan membuat keputusan mengenai hal sedemikian. 

"Kalau kami menerima maklumat tentang isu ini, pihak FMLLP akan kuatkuasakannya. 

"Kalau keputusan telah dibuat, maka perlawanan itu akan diadakan tanpa penonton."