Menjelang mesyuarat Exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) esok, penganalisis bola sepak negara meramalkan tiada perubahan drastik akan dilakukan badan induk itu meskipun dilanda pelbagai kontroversi.

Pandangan itu dilontarkan penganalisis, Hasnizam Uzir, yang berasakan walaupun terdapat kemungkinan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, melepaskan jawatannya, namun belum tentu barisan exco akan mengikut jejak langkah yang sama.

Dia juga berasa ragu-ragu dengan penerimaan barisan exco terhadap formula pemulihan yang dicadangkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin, untuk kebaikan bola sepak Malaysia.

“Kemungkinan akan tiada perubahan kerana ini dapat dilihat daripada raut wajah exco FAM yang tidak begitu gembira dengan formula yang telah dibentangkan oleh Khairy.

“Kita harus berserah dan mengharapkan mereka berfikiran terbuka dalam usaha untuk meningkatkan semula prestasi bola sepak Malaysia,” katanya.

Senada dengan Hasnizam ialah seorang lagi penganalisis sukan, Rizal Hashim, yang berasakan FAM masih lagi akan berada dalam urus tadbir seperti 30 tahun lalu walaupun berlaku perubahan berskala kecil.

“Dayung berada di tangan pemimpin FAM, mereka mahu kekal berkuasa dan terus kekal di dalam kitaran yang ganas ini, ataupun mereka boleh meletak jawatan dan memberikan laluan kepada wajah baru yang memiliki idea yang segar untuk memacu bola sepak negara,” ujar Rizal.