Penulis blog sukan terkenal, Rizal Hashim, tanpa berselindung mengakui dia masih belum yakin dengan kemampuan atlet negara untuk meraih emas dalam Sukan Olimpik Rio 2016, 5-21 Ogos ini.

Rizal berkata, melihat kepada prestasi pesaing atlet negara, khususnya dalam sukan berprospek baik, badminton, lumba basikal dan terjun, ia mungkin melanjutkan lagi tempoh menunggu emas buat Malaysia.

"Ini adalah ulang tahun penyertaan kita yang ke-60 sejak 1956, tetapi untuk mendapatkan emas, mungkin kita terpaksa menunggu lagi, mungkin dua atau tiga edisi lagi.

"Saya agak pesimis apabila bercakap mengenai prospek badminton, lumba basikal dan juga terjun kerana kita tahu barisan lawan yang ada untuk ketiga-tiga peserta kita adalah kuat," kata Rizal, salah seorang pengacara Liputan Harian Olimpik Rio di Astro Arena, yang beroperasi di Petaling Jaya.

Astro Arena adalah salah satu daripada 12 saluran Astro yang membuat liputan dari Rio dengan turut menyediakan siaran berdefinisi tinggi (HD).

Mengulas mengenai program tersebut, Rizal berkata: "Dalam Sukan Olimpik ini, saya sendiri akan mengambil inisiatif untuk berkongsi trivia dan fakta-fakta menarik yang mungkin tidak dibawa oleh rakan-rakan setugas. 

"Sejak penyertaan Malaysia pada 1956 di Melbourne, kita masih menunggu pingat emas yang pertama. Jadi, dalam itu (program) saya mungkin akan berkongsi dengan ketua kontinjen 1968, 1972, 1976, 1992, 1996 dan seterusnya. Itu antara elemen-elemen yang saya cuba (sampai) secara peribadi."

Astro Arena telah menghantar 36 petugasnya ke Sukan Olimpik Rio bagi membuat liputan selama 15 jam sehari sepanjang berlangsungnya acara sukan terbesar dunia itu.