Jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan, menegaskan keperluan untuk Malaysia berwaspada dengan kemampuan beregu England dan Jerman apabila mencongak perhitungan dalam Piala Thomas nanti.

Malaysia sah membuka tirai kempen menentang dua wakil Eropah itu sebelum aksi kemuncak berkumpulan berdepan Korea Selatan.

Dua beregu utama England dan Jerman, Marcus Ellis/Chris Langridge, serta tonggak Jerman, Michael Fuhcs/Johannes Schoettler, berupaya menundukkan mana-mana beregu jika mereka berada di kemuncak prestasi.

"Barisan Jerman bukan pasukan belasahan. Mereka mempunyai stabiliti, jadi kita juga perlu mempamerkan aksi konsisten apabila bertanding dengan mereka," kata Jeremy.

Skuad beregu lelaki juga dalam fasa akhir pemilihan pemain dengan Tan Wee Kiong dan Goh V Shem serta wakil profesional, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong, hampir pasti disenaraikan.

Beregu ketiga akan dipilih daripada kalangan pasangan muda dengan kriteria utama adalah kemampuan menagani aksi agresif skuad Eropah.

"Pemain-pemain dari Eropah lebih taktikal dan kuat manakala pemain-pemain Asia lebih laju. Kita perlu bersiap sedia untuk memerangi cabaran Eropah dalam masa yang akan datang," tambahnya.