Pemain tengah Felda United, Zah Rahan Krangar, mengakui keserasiannya dengan Francis Forkey Doe menjadi tunjang kekuatan yang meletakkan The Fighters di persada liga musim ini.

Sudah bersama ketika menyertai skuad kebangsaan Liberia, Zah Rahan berasa gembira dengan kehadiran Forkey Doe membarisi skuad Felda.

Kembali beraksi dalam satu pasukan, situasi itu membantu menaikkan kembali prestasinya bersama Felda pada musim ini di mana Forkey Doe sudah menjaringkan empat gol. Malah, Zah Rahan yang menjadi arkitek utama Felda, mencipta tujuh jaringan pasukan sepanjang saingan liga.

"Dia pemain yang baik dan saya sudah lama bergandingan bersamanya. Jadi, ini sangat baik untuk Felda." katanya.

Puas melihat Felda di kemuncak liga buat masa ini, pemain berusia 31 tahun itu tidak rela untuk melihat kedudukan mereka dirampas mana-mana pasukan. 

Cukup optimis Felda akan kekal ampuh, Zah Rahan memberi amaran bahawa The Fighters bakal berjuang habis-habisan.

"Sekarang ini kita berada di atas dengan berbeza satu mata. Bagaimanapun, tidak mungkin kedudukan kita itu akan hilang, kita akan berusaha untuk kekal di situ sampai tamat saingan," tambahnya.

Saingan Liga Super bersambung pada Rabu menyaksikan lima perlawanan akan berlangsung, termasuk pertemuan Felda menentang PDRM.