Pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, melihat jadual skuad negara dalam kempen Piala Thomas sebagai peluang baik untuk ke suku akhir.

Penjadualan kempen skuad negara pada Selasa dalam Piala Thomas sah menyaksikan England dan Jerman menjadi cabaran awal dalam kumpulan C.

Menang dua perlawanan bermakna slot suku akhir sudah dalam tangan dengan aksi kemuncak kumpulan adalah menentang Korea Selatan. Dua kemenangan berupaya menawarkan keyakinan buat skuad negara untuk cuba mengulangi pencapaian ke final 2014.

"Sekurang-kurangnya kita menang dua, kita sudah mengesahkan dapat masuk suku akhir dan kita akan jumpa Korea. Nanti kita akan lihat siapa yang terbaik dalam kumpulan. Kita kena elak jumpa pemain pilihan dan yang paling penting, kita bekerjasama," kata Chong Wei..

Meskipun kempen Olimpik Rio satu keutamaan, Chong Wei masih teruja untuk memikul cabaran Piala Thomas negara. Iskandar Zulkarnain Zainuddin serta pasangan Tan Wee Kiong-Goh V Shem, hampir pasti akan disenaraikan untuk ke Kunshan, China.

Malah, Chong Wei memandang ke arah bakal pemain profesional seperti Chong Wei Feng serta bekas tonggak negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong, sebagai pelengkap kepada skuad 2016.

"Kita lebih tenang apabila ada Kien Keat dan Boon Heong sebab mereka kuat juga," tambahnya.

Skuad negara bakal membuka tirai Kumpulan C dalam saingan Piala Thomas dengan berdepan England pada 15 Mei, Jerman menanti dalam perlawanan kedua, diikuti aksi getir bertemu Korea Selatan pada 17 Mei.