Baru-baru ini heboh diperkatakan mengenai debat terbuka yang mahu dilakukan di antara pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Menteri Belia dan Sukan,  Khairy Jamaluddin, selain turut melibatkan Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia, B Sathianathan.

Rasanya tiada gunanya berdebat kerana apa yang lebih penting adalah mencari punca bagaimana masalah yang melanda skuad kebangsaan kini boleh berlaku. 

FAM selaku badan rasmi yang menguruskan bola sepak negara dilihat amat memerlukan rombakan setelah lebih 30 tahun tanpa sebarang perancangan yang terbukti berkesan untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.

Jika dulu kita setaraf dengan pasukan Asia lain seperti Korea Selatan dan juga Jepun, tapi kini? Bola sepak kita tidak ke mana. 

Kita masih lagi mengharapkan pingat dalam Sukan Sea, mahupun Piala AFF, yang pada saya tidak begitu penting dalam memartabatkan bola sepak Malaysia. 

Sepatutnya merangkul emas dan kejuaraan dalam dua kejohanan Asia Tenggara itu adalah misi mudah buat Malaysia, kerana sasaran FAM sepatutnya lebih utama kepada kelayakan Piala Asia mahupun Piala Dunia selain meningkatkan ranking negara ke tahap yang lebih baik.

Selagi FAM masih dimonopoli golongan yang tidak benar-benar serius dalam membangunkan bola sepak, berilah 50 tahun atau 100 tahun sekalipun, bola sepak Malaysia tidak akan ke mana. 

Daripada mempertikaikan tentang perdebatan, lebih baik mempersoalkan apa yang FAM buat sejak 30 tahun lalu? Tak guna berdebat kerana walau apa pun terjadi, di Malaysia ini hanya FAM yang berkuasa mengenai bola sepak negara mengikut statut FIFA.

Rombakan  FAM secara menyeluruh perlu segera dilakukan jika mahu melihat perubahan kerana muka-muka lama yang ada di badan induk itu dilihat lebih berminat terhadap perkara lain berbanding bola sepak itu sendiri. 

Apa gunanya berdebat apabila FAM sendiri tarik diri? 

Tepuk dada, tanya selera.