Atlet berusia 20 tahun itu yang tidak pernah menyertai mana-mana kejohanan tinju profesional sebelum ini, berjaya mengalahkan lawannya, Mujiyono dari Indonesia, menerusi keputusan sebulat suara tiga juri dalam kategori featherweight.

Anak jati Kuala Lumpur itu yang ditemui pemberita selepas pertarungan berkenaan, tidak menyangka dapat meraih keputusan sedemikian kerana hanya menjalani latihan tinju profesional selama setahun di Filipina.

"Pada mulanya, saya agak bimbang kerana lawan saya lebih berpengalaman di pentas profesional selain banyak melepaskan tumbukan kepada saya. Namun, saya gembira dengan kemenangan pertama saya dalam tinju profesional," katanya.

Terdahulu, seorang lagi peninju negara, Jonathan Thoo Yeow Ming, menewaskan satu lagi wakil Indonesia, Heri Andriyanto, menerusi keputusan juri yang memberikannya kemenangan 2-1 dalam kategori super lightweight.

Sementara itu, peninju Uzbekistan, Qudratillo Abduqahorov, memenangi tali pinggang Remaja Dunia Yayasan Tinju Profesional Dunia (WBPF) dan Yayasan Tinju Profesional (WBF) selepas menewaskan peninju Mexico, Juan Bedolla Orozco, dalam kategori welterweight.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menyampaikan tali pinggang berkenaan kepada Qudratillo selaku pemenang.

Kejohanan Tinju Profesional Malaysia dianjurkan oleh anak syarikat Vikram Capital Group, Capstone Sports.

Vikram Capital Group merupakan konglomerat Malaysia yang terbabit dalam bidang makanan, pertanian, mineral, tenaga hijau, pengurusan sukan, tenusu dan penternakan, pembiayaan pelaburan dan perdagangan komoditi.