Berdasarkan undian awal kejohanan, Iskandar dijadualkan berdepan pemain Jepun, Kento Momota, dalam pusingan pertama.

Namun, ketiadaan Momota yang digantung Persatuan Badminton Jepun menyaksikan Iskandar bakal berdepan pemain dari pusingan kelayakan dan situasi itu memberinya peluang lebih cerah untuk mara jauh.

Pemain berusia 24 tahun ini, bagaimanapun, tetap waspada untuk memastikan hasrat mengutip sebanyak mungkin mata bagi memperbaiki kedudukan ranking dapat dilaksanakan.

"Tidak mudah juga sebab saya tengok dalam kelayakan pun, saya berdepan pemain yang sukar, dari Taipei semua. Jadi kena buat persediaan. Tetapi memang peluang untuk ke pusingan kedua, mendapatkan mata tetap ada," katanya.

Saingan di Wuhan juga penting buat Iskandar kerana ia merupakan pertandingan terakhir buat dirinya sebelum kejohanan Piala Thomas.

Berdasarkan prestasi semasa, dia adalah antara calon terbaik untuk membarisi skuad negara. Lantas, dia perlu memastikan persembahan yang baik dapat dipamerkan di Wuhan nanti agar tidak terlepas kedudukan berkenaan.

"Keyakinan masih ada, cuma kena lebih konsisten. Saya tak mahu bila dah main bagus, lepas itu lemah. Nanti ambil masa untuk konsisten semula. Di Wuhan, saya mahu membuktikan kemampuan diri saya, untuk mendapatkan tempat dalam skuad," tambahnya.