Peninju berusia 26 tahun itu menjadi juara dunia baru IBF dalam kategori heavyweight pada Sabtu lalu setelah menewaskan peninju Amerika Syarikat, Charles Martin, di hadapan penonton yang turut termasuk bekas pengendali Chelsea, Jose Mourinho.

Joshua mendedahkan dia gilakan permainan video FIFA 16 sehingga menjejaskan latihannya.

Joshua merupakan antara peminat tegar permainan video keluaran EA Sports itu dan turut menghadiri pelancaran FIFA 16 tahun lalu.

"Saya terpaksa berhenti bermain FIFA 16 kerana ia telah mencapai tahap di mana saya tidak cukup tidur, sekali gus merencatkan badan saya untuk pulih daripada keletihan berlatih.

"Saya boleh berjaga sehingga pukul 5 pagi bermain permainan itu dan hanya tidur kurang dari dua jam sebelum saya bangun untuk berlatih. Ia bukan sesuatu yang sihat," katanya.

Sementara itu, pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2012 itu mendedahkan mahu terus membina nama dalam sukan tinju sehingga umurnya mencecah 35 tahun.