Tiga wakil negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong,  Koo Kien Keat/Tan Boon Heong serta Vivian Hoo/Woon Khe Wei antara yang diberi perhatian untuk mengejar slot ke Rio memandangkan ia adalah kejohanan terakhir yang menawarkan mata ke Olimpik.

Bagi Frost, mereka perlu berusaha keras dan tidak boleh membuat sebarang kesilapan yang boleh memakan diri tatkala masing-masing bakal bertemu lawan yang sukar.

"Ia sangat penting. Ia adalah kejohanan terakhir dalam tempoh kelayakan. Tinggal tiga3 kejohanan lagi yang mana kita berjuang selama empat tahun. Ia semakin hampir. Saya fikir kita akan layak pada setiap kategori. Ia nampak baik," katanya.

Selain itu, Frost tidak menolak kemungkinan pemain sudah keletihan dengan kejohanan demi kejohanan berturut-turut, namun mereka tetap perlu konsisten mengharungi jadual padat ini.

"Sudah tentu ia tidak baik untuk menyertai terlalu banyak kejohanan tetapi kita tiada pilihan. Kita perlu mengejar mata," tambahnya.

Setakat ini, Malaysia bakal menyaksikan satu wakil bagi setiap acara yang dipertandingkan di Brazil nanti.

Datuk Lee Chong Wei meneruskan pemburuan emas pertama Olimpik apabila layak melalui kedudukan di ranking kedua dengan pungutan 77,153 mata.

Beregu lelaki diwakili V Shem/Wee Kiong, harapan beregu campuran pula diletakkan ke atas naib juara Terbuka Malaysia, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying.

Beregu wanita, Vivian Hoo/Woon Khe Wei dan perseorangan wanita, Tee Jing Yi, juga ke Rio.