Shaaban terbabit dengan kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari Ijok menuju ke tempat latihan di Shah Alam.

Ekoran insiden itu, kaki kirinya terpaksa dipotong.

Berdepan masa depan yang belum pasti, Khairy menjelaskan Shaaban masih berpeluang menabur bakti dalam arena sukan tanah air menerusi peranan yang lain.

Namun, apa yang lebih penting ketika ini adalah rawatan serta proses pemulihan buat atlet berusia 36 tahun itu.

"Saya akan cadangkan kepada MSN (Majlis Sukan Negara) supaya kita menawarkan beliau satu peranan dalam MSN sendiri. Saya mahu beliau terus bersama dengan sukan golf kerana beliau ada pengalaman dan mungkin boleh menjadi jurulatih ataupun pegawai.

"Kita harus memberi beberapa pilihan kerana beliau akan melihat masa depan dan memikirkan apa kerjayanya selepas kemalangan yang dihadapi," kata Khairy.

Dalam pada itu, insiden membabitkan penjaga gol pasukan Piala Presiden Melaka United, Marco Petrovksi, turut mendapat perhatian Khairy.

Petrovksi, 18, cedera parah selepas dipanah petir ketika sesi latihan pada Isnin dan masih dalam pemerhatian unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka.

"Satu insiden yang sangat menyedihkan dan saya harap bahawa bukan sahaja pasukan bola sepak tetapi kesemua sukan yang terlibat dengan latihan di luar akan mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi.

"Saya melihat kadang-kalanya kita mengambil mudah mengenai cuaca. Apabila ada petir, saya melihat banyak juga insiden di mana latihan diteruskan dan sepatutnya mereka berhenti," tambahnya.