Dua pertemuan sebelum ini yang memihak pemain dari Sepanyol ini pasti memberi kelebihan buat Muguruza dalam mencari kejuaraan sulung musim 2016.

Aksi yang agak seimbang dipamer kedua-dua pemain pada set pertama dengan siri pukulan deras dan forehand yang mengelirukan menyaksikan kutipan mata yang rapat sehingga mengheret ke tie break yang menjadi milik Cibulkova.

Tersentak Muguruza, menukar corak serangan dengan mempelbagaikan hantaran ke sekeliling gelanggang yang menyukarkan pemain di ranking ke-54 dunia itu menyambut pukulan sekali gus menang set kedua 6-3.

Tidak menoleh ke belakang, Muguruza meneruskan aksi konsisten walaupun cuba diberi tentangan untuk mengesahkan kemenangan pada set ketiga dengan 7-5 dan bakal berdepan Nicole Gibbs di pusingan ketiga.

Sementara dalam saingan lelaki seorang lagi pemain Sepanyol, David Ferrer turut lepas halangan pusingan kedua dengan menundukkan Taylor Fritz straight set 7-6, 6-1 dan bakal berdepan Lucas Pouille.