Dragons mengesahkan kelayakan ke play off sebagai juara peringkat kumpulan dengan Heat, Singapore Slingers dan Bangkok city mengiringi wakil Malaysia ini dalam perebutan kejuaraan ABL musim 2016.

Heat jadi lawan susulan kedudukan mereka sebagai pasukan keempat dalam kelompok empat pasukan tersebut, kelebihan dinikmati Dragons sebagai pasukan terbaik liga.

Bagaimanapun Heat tidak rela berputih mata begitu sahaja apabila rapat mengekori Dragons sepanjang dua suku pertama dengan wakil Vietnam itu ketinggalan dua mata 33-35.

"Ia perlawanan yang sukar. Kita akan meneruskan corak permainan baik dan membuat persediaan untuk perlawanan akan datang," kata jurulatih Dragons, Ariel Vanguardia.

Mujur pendekatan Dragons untuk meningkatkan intensiti permainan pada dua suku terakhir membuahkan hasil mengundang tekanan buat Heat.

Penghujungnya menyaksikan mereka tidak terdaya menghalang kemenangan 84-68 Dragons.

Dragons berkemungkinan terpaksa bayar harga mahal kemenangan ini apabila pemain berpengaruh Matthew Wright mengalami kecederaan sejurus sebelum tamat perlawanan.