Zyuraidi akur dengan pengantungan yang dikenakan oleh KRM, namun menjelaskan mereka masih punyai waktu untuk memberi penjelasan rasmi sebelum tarikh 24 Februari.

Katanya tindakan mengenakan hukuman secara tergesa-gesa kepada mereka adalah tidak adil. Ini berikutan KRM memberikan kemenangan kepada Keris Conlay membabitkan perlawanan dengan Serdang Angels.

"Program mobiliti ke Bangkok adalah program universiti. Jadi saya terpaksa menunggu maklum balas daripada pegawai-pegawai universiti yang terlibat sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi supaya tidak ada bercanggah dengan dasar universiti," kata  Zyuraidi

Zyuraidi juga menegaskan bukan sahaja pemain UPM sahaja tidak hadir pada latihan pusat dengan turut mendakwa  terdapat juga sebilangan pemain dari kelab lain yang turut sama gagal laporkan diri.

Bagi Zyuraidi pemainnya sentiasa bersemangat untuk mewakili negara dan dakwaan pemainnya tidak patriotik adalah tidak benar sama sekali.

"Tujuan ragbi yang dibuat di UPM adalah untuk menyediakan atlet-atlet mewakkili negara. Jadi saya rasa itu bukan satu isu yang akan menghalang pemain-pemain mewakili negara kerana itu adalah tujuan utama," tambahnya.

Nadi Arena sebelum ini melaporkan KRM menghantar surat tunjuk sebab kepada Serdang Angels selepas tujuh pemain kelab itu gagal laporkan diri untuk latihan skuad kebangsaan serta lawatan ke Thailand tanpa dimaklumkan kepada KRM.