Dengan tinggal hanya empat minggu sahaja lagi sebelum bermulanya pertandingan besar pertama bagi tahun 2016 itu, Abdul Talib telah mengerah pemainnya untuk menggandakan kerja keras mereka menerusi sesi latihan yang diadakan tiga kali sehari dan berpendapat kesemua pemain telah melakukan yang terbaik untuk menambat hatinya. 

Abdul Talib dijangka memuktamadkan senarai pemain pada pertengahan Februari dan pengendali berusia 45 tahun itu berharap pemain yang disenaraikan nanti dapat membawa semangat dan aura sama yang mereka tunjukkan ketika ini untuk cuba mencipta kejutan di ISS Bangkok – kejohanan yang mahu dijadikannya sebagai batu loncatan untuk membentuk skuad mantap menghadapi Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.  

“Harapan saya, pemain gunakan kesempatan yang diberikan ini. Melihat kepada kesungguhan dan kerja keras mereka, saya tahu mereka mahu buktikan sesuatu. Saya tidak letak sasaran tinggi dan saya tidak mahu memberi tekanan kepada mereka, tetapi tidak mustahil kita boleh cipta kejayaan di Bangkok jika pemain bermain sepenuh hati dan mengikut apa yang telah kita rancang.” 

“Saya lihat pemain ketika ini bebas dari tekanan, mereka seronok turun berlatih dan fokus saya adalah memantapkan semua aspek yang kita lihat masih ada kelemahan. Sama ada ketika bertahan, menyerang atau di dalam melakukan servis, kita akan perbaiki sebelum SuperSeries bermula,” ujarnya.    

Abdul Talib turut berkata semua pemain kebangsaan termasuk pemain yang tersenarai ke Bangkok akan kembali ke pasukan negeri masing-masing bagi menghadapi saingan Piala Emas Khir Johari Edisi ke-52 yang dijadual berlangsung pada minggu terakhir Februari, justeru berharap pemain akan menggunakan pertandingan berprestij tanah air itu sebagai medan persiapan terakhir.

Untuk ISS Bangkok kali ini, Malaysia dijangka turun tanpa tonggak utama seperti Farhan Adam (apit kiri) yang direhatkan dan Hanafiah Dollah (apit kanan) yang melangsungkan perkahwinan, sekaligus memberi ruang kepada Abdul Talib mencuba gandingan berbeza.  
“Saya ada beberapa pilihan, persefahaman dan keserasian antara setiap pemain semakin baik dari hari ke hari. Sama ada ianya regu pertama, kedua atau ketiga, masing-masing memahami cara permainan rakan sepasukan yang lain tetapi mereka tidak boleh cepat berpuas hati. Masih ada ruang yang perlu ditambahbaik dan adalah penting mereka kekal fokus setiap masa,” jelasnya. 

Ketika ini, terdapat hampir 40 pemain yang terlibat dengan kem latihan pusat skuad kebangsaan di mana selain pemain kebangsaan sedia ada, beberapa wajah baru yang menyerlah di SepakTakraw League juga telah dipanggil menjalani latihan. 

Untuk rekod, Malaysia menamatkan saingan ISS 2015 dengan muncul naib juara pusingan akhir di Nakhon Pathom pada Oktober lalu, tewas kepada Thailand dalam perlawanan akhir manakala pencapaian terbaik pasukan negara adalah ketika muncul juara ISS Malaysia selepas menewaskan jagoan takraw dunia itu di bumi Melaka pada Februari tahun lalu.