Gomo Warriors menewaskan City Flyers 2-1 pada perlawanan penentuan tempat ketiga, namun mereka terpaksa menanti sehingga ke set terakhir regu ketiga sebelum dapat mengesahkan kemenangan menerusi kecemerlangan gandingan Wan Naim Izani, Aidil Azman Azwawi dan Khairul Hisyam. 

Trio Kelantan itu menewaskan Ezzat Zaki, Amirul Azhar Roslan dan Syafiq Rahman 21-11, 18-21, 21-16 sekaligus menyaksikan Gomo Warriors meraih hadiah wang tunai RM10,000 manakala City Flyers, di tempat keempat menerima RM5,000. 

“Ianya penamat yang cukup baik bagi kami. Satu ketika tiada siapa meletakkan harapan kami akan layak sejauh ini, kami hampir tersingkir awal tetapi kami buktikan dengan semangat juang tinggi ianya tidak mustahil. Ini adalah hadiah kepada usaha keras dan kerjasama sepasukan tinggi yang ditunjukkan para pemain,” kata jurulatih Gomo Warriors, Baharil Anuar. 

Ianya adalah kemenangan kedua Gomo Warriors ke atas City Flyers. Sebelum ini pada aksi peringkat kumpulan, Gomo Warriors merakamkan kemenangan sulung mereka di STL 2015 dengan menewaskan City Flyers 2-1 – kemenangan yang menjadi titik kebangkitan mereka untuk mencatat empat kemenangan berturut-turut dan mara ke separuh akhir. 

Perlawanan ini bagaimanapun menyaksikan City Flyers yang bermula dengan langkah kanan apabila regu pertama mereka, Farid Aziz, Hafiz Rahman dan Muqlis Borhan mudah menewaskan Hisham Mat, Yuslie Jusoff dan Malek Faqimi Idris 21-14, 21-10. 

Tanpa Idham Sulaiman di regu kedua, Gomo Warriors tetap berjaya bangkit mengikat kedudukan menerusi trio Farhan Adam, Afifudin Razali dan Normanizam Ahmad yang bertarung sengit sebelum mencatat kemenangan 21-19, 22-20 ke atas Aizat Azmi, Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir. Wan Naim, Aidil Aiman dan Khairul kemudiannya mengetepikan tekanan untuk memuktamadkan kemenangan buat Gomo Warriors.

Gelaran juara STL 2015 akan ditentukan oleh Black Panthers dan Angkatan Tentera pada perlawanan akhir yang sedang berlangsung ketika ini.