Sehubungan itu Persatuan Kriket Malaysia sedang berusaha untuk menjemput pasukan lebih handal untuk mengadakan perlawanan di negara ini selain menempatkan pemain negara di liga luar.

Pengurus Besar persatuan, V. Clarence Selvam berkata dengan bermain bersama pemain dan pasukan yang lebih handal seperti Australia, India dan New Zealand, pemain kriket Malaysia boleh memperbaiki kemahiran mereka untuk mencapai standard permainan yang tinggi.

"Kami suka untuk menghantar pemain ke luar negara, namun terdapat isu pembiayaan dan kami kini sedang berusaha untuk mendapat lebih banyak penaja dan pembiayaan, tetapi ia bukan mudah," katanya kepada Bernama.

Justeru itu, beliau berkata sukan kriket perlu dibangunkan pada peringkat tempatan termasuk menganjurkan lebih banyak kejohanan dan mengadakan lain-lain aktiviti.

Skuad negara kini memiliki kira-kira 70 pemain terbahagi dalam tiga kategori iaitu skuad elit negara, skuad kebangsaan A (skuad sokongan) dan skuad pembangunan.

"Pembiayaan untuk mengurus skuad dari aspek seperti lojing, pengangkutan dan kejurulatihan bukan kecil. Tetapi kami sedang menanganinya menerusi sumber sedia ada," kata Selvam.

Mengenai prestasi pasukan negara, beliau berkata sementara beberapa negara Komanwel telah mencipta nama dalam sukan ini, namun Malaysia masih jauh sebelum mencapai kecemerlangan.

"Bakat seperti kapten negara Ahmad Faiz Mohammad Noor dan pemain lain seperti A.Suhan Kumar, Mohammad Shukri Abdul Rahim dan pemain remaja Pavandeep Singh dan Virandeep Singh mempunyai masa depan yang baik. Sasaran kita ialah untuk bermain dalam Piala Dunia 2023," katanya.

Malaysia kini menduduki ranking ke-23 antara 105 negara anggota Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) dan kini bermain dalam Divisyen 3 Liga Kriket Dunia ICC.