Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata mereka perlu menjadikan sepak takraw sebahagian daripada 'sistem' kehidupan kerana minat dan perasaan cintakan sukan berkenaan akan membolehkannya terus maju.

"Saya juga pernah bermain sepak takraw, saya melibatkan diri dalam sukan ini tanpa pengaruh lain. Apa yang saya maksudkan ialah bagaimana dulu kita bermain kerana minat dengan sukan ini tanpa (mempertimbangkan) ganjaran dan sebagainya. 

"Jadi saya minta semua pemain dapat memikirkan bagaimana sepak takraw bolehmenjadi satu sukan yang boleh (mereka) cintai," katanya kepada  pemberita selepas merasmikan Bengkel Pembangunan Sepak Takraw Negara anjuran Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dengan kerjasama MSN di sini hari ini.

Bengkel dua hari itu berakhir esok.

Mengenai bengkel itu, Ahmad Shapawi berkata pihaknya akan menyediakan pelan tindakan ke arah membangunkan sukan itu melibatkan empat aspek utama iaitu atlet, kejurulatihan, pertandingan dan kemudahan latihan.