Malaysia, yang dibarisi pemain muda bawah 25 tahun, dapat menundukan pasukan Singapura dengan 2-0 (21-13 dan 21-16) dalam saingan Kumpulan B kejohanan itu.

Pasukan negara diketuai feeder berpengalaman Farhan Adam, bermula agak gugup pada set pertama sehingga membiarkan Singapura mendahului 6-2, namun sokongan padu kira-kira 2,000 penyokong di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini memberikan keyakinan kepada trio negara sehingga berjaya mengejar mata 9-7.

Killer negara Khairol Zaman Hamir yang meneruskan libasan cemerlangnya semalam, gagal disekat pasukan Singapura dibarisi Farhan Amran, Yassin Suhaimi dan Hafiz Nor Izam Ja'afar, yang memberikan mata demi mata seterusnya kemenangan kepada skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, persembahan hambar tekong muda Mohd Syahir Mohd Rosdi,  18, yang sering gagal menyempurnakan servis perlu diatasi segera oleh jurulatih Abd Talib Ahmad menjelang perlawanan terakhir kumpulan dengan menentang Indonesia malam ini.

Pasukan Thailand pula menundukkan Myanmar dengan 2-0 (21-7 dan 21-18) dalam saingan Kumpulan A walaupun hanya memasukkan tekong handalan mereka Siriwat Sakha pada pertengahan set kedua.

Permainan set pertama nampak berat sebelah dengan kehebatan corak menyerang Thailand yang mengasak sehingga Myanmar kelihatan hilang punca, namun pada set kedua, Myanmar mula mendapat rentak dan berjaya menyerap asakan Thailand.

Kemasukan Siriwat ketika Thailand ketinggalan 8-9, mengubah segala-galanya dan dengan servis kuda kaki kirinya Siriwat membuktikan beliau pemain yang perlu digeruni pasukan lawan.

Tanpa gandingan biasanya dalam pasukan kebangsaan Thailand iaitu Pornchai Kaokaew dan Pattarapong Yupadee, Siriwat nampak serasi bermain dengan pemain pelapis pasukan itu.

Sementara itu, kategori lelaki Kumpulan B menyaksikan Indonesia menewaskan China 2-0 (21-15 dan 21-10) manakala bagi kategori wanita Kumpulan A, pasukan Korea Selatan menundukkan Vietnam 2-0 (21-18 dan 21-17).