Selain Australia, edisi kali ini akan disertai oleh New Zealand, pasukan ranking ketujuh dunia, Korea Selatan (8), India (9), Kanada (14) dan pasukan tuan rumah, Malaysia, yang menduduki ranking ke-12 dunia.

Australia, yang merupakan penyandang juara dunia dan bekas juara Olimpik 2004, bakal memburu gelaran kesembilan di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kejohanan, Datuk Abdul Rahim Matt Ariff berkata kejohanan tahun ini akan menjadi medan 'pemanas badan' skuad kebangsaan dalam menghadapi saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium pada 20 Jun hingga 5 Julai depan.

"Tahun ini kita menetapkan sasaran untuk melakar rekod baharu selepas harapan untuk bergelar juara musnah apabila tewas 8-3 kepada Australia dalam final tahun lepas.

"Namun saya berharap ia tidak berakhir dengan kesedihan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Penasihat Kejohanan, Tan Sri P. Alagendra dan Setiausaha Kehormat Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Mohd Johari Abdul Aziz.

Abdul Rahim, yang juga Presiden Persatuan Hoki Perak, berkata skuad kebangsaan perlu mengukur tahap kecergasannya bagi menonjolkan corak permainan terbaik berbanding tahun lepas.

Sementara itu, Mohd Johari berkata ketiadaan Pakistan pada kejohanan kali ini disebabkan pasukan itu mempunyai komitmen lain yang tidak dapat dielakkan.

"Surat jemputan sudah dihantar tetapi tarikh tidak berapa sesuai, mungkin disebabkan pertembungan jadual kejohanan dengan liga mereka," katanya.

Beliau berkata sempena kejohanan berprestij itu, pihaknya menerusi Akademi Hoki Raja Ashman akan menganjurkan dua kursus kejurulatihan tahap pertengahan dan pengadil peringkat Asia.