Jurulatih pasukan negara Abdul Talib Ahmad berkata skuad kebangsaan telah menjalani latihan intensif selama 10 hari bagi menghadapi siri kedua kejohanan berkenaan.

"Latihan di Pulau Pinang telah meningkatkan semangat pemain dan saya lihat  mereka lebih berwaspada terhadap permainan psikologi pasukan lawan," katanya.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Ahmad Ismail.
   
Kejohanan empat hari itu, yang akan dirasmikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan disertai sembilan negara, dibahagikan kepada dua kategori, lelaki dan wanita.

Bagi kategori lelaki, juara pusingan pertama Thailand diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Jepun, Korea Selatan dan Myanmar manakala Malaysia, Singapura, China dan Indonesia dalam Kumpulan B.
   
Untuk kategori wanita, Malaysia, Korea Selatan dan Vietnam diundi dalam Kumpulan A manakala Kumpulan B diketuai juara pusingan pertama Thailand, Jepun dan Myanmar.
   
Pada pusingan pertama di Nay Pyi Taw, Myanmar, November lepas, Thailand menjuarai kedua-dua kategori apabila skuad lelaki negara berkenaan menewaskan Malaysia 3-0 manakala skuad wanitanya mengalahkan Vietnam 2-0, dalam perlawanan akhir.