Minggu ini adalah minggu terakhir menjelang siapakah yang bakal menjadi presiden dan pemegang jawatan tertinggi dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila kongresnya yang ke-53 berlangsung Sabtu ini.

Inilah yang ditunggu-tunggu oleh peminat adakah ahli-ahli gabungan bijak melaksanakan tugas dan berfikir tentang kemajuan bola sepak pada masa akan datang.
Semua akan terjawab nanti apabila sampai pada hari pengundiannya.

Adakah kekuatan kepartian politik akan menentukan atau populariti yang akan mempengaruhi perwakilan nanti?

Segala perancangan dan kempen pasti telah dilakukan oleh mereka yang bertanding – terutama pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dan penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, yang akan berhadapan satu lawan satu untuk jawatan presiden -- namun itu perihal semasa pemilihan.

Tetapi apa yang lebih penting kepada penulis sebagai pencinta bola sepak ialah untuk melihat sejauh mana mereka benar-benar ingin memajukan bola sepak negara.

Adakah mereka benar-benar ikhlas, jujur dan amanah untuk melaksanakan tanggungjawab sekiranya mereka terpilih nanti?

Mampukah mereka memberi komitmen sepenuhnya walaupun kita tahu segelintir mereka adalah pemimpin parti politik dan juga Ahli Parlimen?

Ini kerana bola sepak memerlukan orang yang boleh memikirkan dan melaksanakan apa yang telah dirancang selain bekerja keras serta bijak untuk mencari jalan penyelesaian sekiranya menghadapi masalah. Bukan sekadar memikirkan kepentingan peribadi.

Mereka yang terpilih ini perlu memandang jauh ke hadapan dan melihat sedalam-dalamnya serta membuat kajian terperinci dahulu, apakah punca sebenar kegagalan yang dihadapi selain berani memberi pandangan yang bernas serta bukan orang yang mempunyai sikap "Mr. Yes".

Sebagai pencinta bola sepak, penulis tidak mahu melihat lagi kegagalan sebagaimana hari ini, sebaliknya ingin melihat satu pasukan pengurusan yang tidak tidur tetapi celik bekerja.

Mereka yang boleh memikirkan bagaimana dapat membantu persatuan-persatuan dan ahli-ahli gabungan supaya tidak ada lagi terus dengan "mentaliti subsidi" selain bijak mengurus dari akar umbi hingga ke peringkat senior. 

Itulah harapan semua pencinta bola sepak negara yang inginkan perubahan pengurusan yang boleh membawa kebaikan kepada bola sepak dan menukar budaya bekerja serta berfikir dalam kalangan pemimpin dan pengurusan bola sepak di dalam negara.

Pilihlah kerana kewibawaan dan kredibiliti, bukan kerana amanat parti.