Penurunan prestasi Arsenal secara mendadak musim ini ternyata membuat penyokong semakin berang dengan pengendali pasukan, Arsene Wenger, yang tidak mampu lagi memberi sentuhan-sentuhan magis buat pasukan.

Wenger telah memulakan karier bersama Arsenal pada Oktober 1996, di mana beliau telah menjadi pengurus kelab paling lama dan paling berjaya daripada segi kejuaraan utama.

Pemerhati bola sepak melihat Wenger sebagai salah seorang pengurus yang merevolusikan bola sepak di England dengan memperkenalkan rejim latihan yang efektif serta pemakanan yang bersesuaian buat pemain bola sepak.

Wenger telah membantu pasukan menjuarai tiga kali Liga Perdana Inggeris (EPL) dan kejayaan yang paling diingati adalah pada tahun 2004 apabila mereka bergelar 'The Invincibles'  apabila berjaya menamatkan saingan 38 perlawanan tanpa kalah.

"Le Professeur" berjaya mencungkil bakat-bakat seperti Dennis Bergkamp, Thierry Henry, Freddie Ljungberg, Robin Van Persie dan Patrick Vieira -- antara pemain-pemain yang menjadi tunjang kepada The Gunners.

Bagaimanapun, Wenger seakan-akan sudah menemui jalan buntu dalam usaha untuk mengulangi kejayaan merangkul gelaran liga yang ditunggu-tunggu selama hampir 13 tahun.

Sejak kebelakangan ini, sasaran utama mereka adalah untuk mengakhiri saingan liga dalam kelompok empat terbaik yang menjadi amalan mereka -- bermula baik pada awal musim dengan mempamerkan permainan yang agresif dan berjaya menghasilkan jaringan-jaringan gol,namun gagal mengekalkan momentum sekaligus kehilangan mata berharga.

Sejak 2010, pusingan kalah mati Liga Juara-Juara UEFA (UCL) adalah penghujung buat mereka bagi saingan di pentas Eropah. 

Sering diundi bersama kelab-kelab gergasi seperti Barcelona dan Bayern Munich, Arsenal menjadi pasukan belasahan dan yang terbaru menyaksikan mereka tewas 5-1 dalam kedua-dua perlawanan menjadi agregat 10-2.

Tidak dinafikan, Wenger adalah seorang pengurus yang paling berjaya buat Arsenal, mungkin sudah tiba masanya beliau mengundurkan diri demi pasukan maju ke hadapan.

Daripada suka menjadi benci -- sedih menyaksikan penyokong-penyokong kelab ini mencemuh seorang pengendali yang satu ketika dahulu menaikkan nama pasukan dan menjadikan Arsenal antara kuasa besar bukan saja di England, malah di Eropah.

Langkah terbaik buat Wenger adalah mengikut jejak langkah bekas pengendali Leicester City, Claudio Ranieri, yang akur dengan keputusan apabila dipecat selepas membantu pasukan menjulang takhta liga pada musim 2015-16.

Hasilnya, mereka berjaya merakamkan kemenangan ke atas Liverpool (3-1) dan Hull City (2-1), sebelum membuat kejutan menyingkirkan Sevilla daripada saingan Liga Juara-Juara untuk menempah slot suku akhir bertemu Atletico Madrid.

Bertemu Manchester City dalam aksi separuh akhir Piala FA, ia akan dilihat sebagai cabaran terakhir buat Wenger untuk menamatkan kariernya bersama Arsenal bagi menutup segala kritikan yang telah dihamburkan kepadanya.

“You Either Die A Hero, Or You Live Long Enough To See Yourself Become The Villain” - The Dark Knight (2008)