"Bukan kelab yang memilih Zlatan Ibrahimovic, tetapi Zlatan yang akan memilih kelab yang akan disertainya." Itu antara ayat yang menjadi mainan ucapan peminat-peminat yang menggambarkan kredibilitinya.

Dengan baki tiga bulan lagi perjuangan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), kehilangan Zlatan di Old Trafford pada musim depan boleh mencetuskan situasi panik.

Kegagalan Manchester United dalam meyakinkan Zlatan untuk melanjutkan kontraknya yang akan tamat pada hujung musim ini akan menyebabkan kelab itu terdesak dalam mendapatkan seorang ikon baru.

Pada usia 36 tahun, krebilitinya belum tergugat biarpun tiba dalam budaya baru dan gaya permainan berbeza di England.

Zlatan membuktikan ketajamannya dalam kalangan pemain-pemain muda United apabila mencetak 26 gol musim ini.

Berdasarkan perkembangan semasa, Napoli boleh menjadi destinasi mengejut bagi mengubati kerinduannya terhadap kancah bola sepak Itali, atau pakej yang ditawarkan kelab Amerika Syarikat, LA Galaxy, sukar untuk dia menafikan peluang menerokai cabaran baru.

United pasti tergugat andai jodoh mereka bersama Zlatan tidak panjang kerana sifirnya mudah, dia adalah pemain contoh di dalam mahupun di luar padang.

Red Devils kini dilihat tidak mempunyai pemain berpengaruh dan ego sehebat penggempur bersosok besar itu.

Sebut sahaja nama Nemanja Vidic, Steve Bruce, Gary Neville, Bryan Robson atau Roy Keane, kita sudah boleh membayangkan kepimpinan mereka dalam permainan. Mereka tidak perlu menjadi pemain terbaik, tetapi mereka mampu memastikan rakan sepasukan dalam situasi terbaik.

Dengan ketua pasukan semasa, Wayne Rooney, sedang berdepan penurunan prestasi, aura pemain-pemain senior seperti Michael Carrick atau Chris Smalling pula tampak belum cukup kuat untuk mengetuai skuad bimbingan Jose Mourinho itu agar tidak dibuli pemain lawan.

Pemain-pemain muda seperti Marcus Rashford, Jesse Lingard, Paul Pogba dan Anthony Martial adalah prospek masa depan, tetapi mereka masih perlu bekerja keras untuk memenuhi potensi sebenar.

Maka di sinilah United boleh menggunakan pengaruh Zlatan, agar pemain muda sentiasa merendah diri, bekerja keras untuk merebut tempat selain dahagakan kejayaan lebih besar.

Selepas berkelana di empat negara Eropah, Zlatan telah memenangi 13 gelaran liga dalam tempoh 15 tahun terakhir.

Bagaimanapun, pentas Eropah adalah satu-satunya gelaran yang belum pernah ditawannya -- sama seperti idolanya, Ronaldo.

Sehubungan itu, pentas Liga Europa boleh menjadi umpan buat United untuk meyakinkan Zlatan supaya kekal, setidak-tidaknya semusim lagi.