Khabarnya riuh seluruh Indonesia apabila kelab Persib Bandung melengkapkan pembelian Michael Essien awal minggu ini.

Rata-rata kedatangan Essien – bekas bintang Chelsea, Real Madrid dan AC Milan -- dikagumi sebagai satu ‘tangkapan terbesar’, tapi adakah apa-apa yang baru sebenarnya?

Liga Indonesia sebelumnya pernah dibintangi pemain bertaraf dunia, antaranya Mario Kempes dan Roger Milla, pada era 1990-an tapi lihatlah sejauh mana percikan aura malap mereka terhadap peningkatan bola sepak Indonesia – 167 dalam ranking dunia FIFA, tujuh di bawah Malaysia.

Berselang hanya beberapa hari selepas Essien dipertonton kepada umum dengan menyarung jersi biru Persib (singkatan Persatuan Sepakbola Indonesia Bandung), heboh pula kelmarin bahawa isterinya, Akosua Puni Essien, telah membeli kelab divisyen tiga Itali, Como, dalam satu lelongan.

Dilaporkan, kelab itu dibeli dengan harga lelongan €237,000 (RM1,130,490) – lantas menimbulkan persoalan terhadap fokus sebenar Essien atau sama ada dia dapat memenuhi janjinya: “Terima kasih kerana membawa saya ke dunia sebelah sini. Saya sangat teruja dan mahu memberikan yang terbaik. Saya juga harap langkah ini akan membawa lebih ramai pemain utama dunia untuk bermain di Indonesia.”

Dalam pada itu, satu kenyataan kelab Como pula mengumumkan Puni Essien akan kembali ke Como dalam masa terdekat dan “beliau berbesar hati untuk menjadi sebahagian kelab ini yang memiliki sejarah 110 tahun.” Como diturunkan dari Serie B musim lalu dan ketika ini di tangga ketujuh Lega Pro (divisyen tiga).

Tiada siapa yang mampu menidakkan kehebatan Essien sebelumnya – dia memenangi Liga Juara-Juara UEFA, dua kejuaraan Liga Perdana, dua kejayaan Piala Liga dan empat trofi Piala FA bersama Chelsea di samping 58 kali membarisi Ghana, termasuk dalam dua kempen Piala Dunia – tapi banyak yang sudah berubah sejak itu.

Pada usia 34 tahun kini dan pernah menanggung kecederaan lutut serius ACL ketika pra-musim 2011-12, Essien bukan lagi sebagaimana kegemilangan silamnya. 

Dia menghabiskan semusim bersama Panathinaikos dalam Liga Greece, dengan hanya melakukan 15 penampilan musim lalu dan kini bertarung dalam kes saman untuk mendapatkan pampasan setimpal.

Sedih tapi benar, dia gagal mendapatkan kelab baru pada musim panas lalu, termasuk ditolak oleh tiga kelab Sweden -- AIK, Hammarby dan IFK Göteborg, “kerana dia tidak sesuai buat mereka.” 

Sebagai berlaku adil kepadanya, Essien juga dilaporkan menolak untuk menyertai Melbourne Victory dalam Liga-A sebelum memilih ke Bandung dengan bayaran Rp9 bilion (ASD647,000 atau RM2,872,680) setahun dengan kontrak satu tahun atau purata RM239,390 sebulan.

Khabarnya juga, Persib yang diberi jolokan Maung (Harimau) Bandung dan Pangeran Biru, tidak akan terhenti setakat ini, dengan langkah segera diatur untuk membawa satu lagi ‘tangkapan besar’.

Persib, juara pada musim 2014, berkesudahan di tangga kelima musim lalu dan pembelian Essien dilihat mereka – kumpulan penyokongnya digelar ‘Bobotoh’ -- untuk mengembalikan kelab itu ke landasan juara.

Kedatangan Essien dilaporkan turut mendapat pengiktirafan tertinggi, dengan Presiden Joko "Jokowi" Widodo, turut menyokong pembangunan bola sepak republik itu yang baru dibebaskan daripada penggantungan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) gara-gara apa yang didakwa campur tangan kerajaan dalam pengurusan liganya.

“Sebab-sebab untuk membawa Michael Essien ialah untuk meningkatkan nilai pertandingan di Indonesia,” kata Teddy Tjahyono selaku jurucakap Persib Bandung.

Ramai yang semakin tidak sabar menanti Essien untuk memulakan latihan 25 Mac ini, tarikh yang sama penting dalam mengorak langkah baru dalam bola sepak Malaysia – yang sebelumnya pernah meraikan bintang-bintang tersohor seperti Emile Mbouh Mbouh, David Rocastle dan El Hadji Diouf tanpa banyak kesan besar.

Kredit foto: www.bola.com