Liga Perdana Inggeris (EPL) dicanang sebagai liga terbaik di dunia tetapi adakah pasukan yang bertanding semuanya berkualiti tinggi di peringkat benua?

Mungkin tahap kompetitifnya antara yang tertinggi, malah nilai dan juga harga hak penyiaran semakin meningkat setiap tahun.
  
Namun, kualiti pasukan yang ada semakin menurun walaupun masih mampu menarik minat pemain dan jurulatih terbaik untuk datang.

Kegagalan tiga daripada empat pasukan untuk layak ke saingan suku akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) membuktikan dominasi mereka di peringkat Eropah semakin terhapus.

Mujur Kasper Schmeichel menjaga maruah pasukan EPL dengan menyelamatkan penalti pada lewat perlawanan untuk membawa Leicester City selaku pasukan tunggal Inggeris  ke suku akhir.
Ironinya, Leicester merupakan pasukan di tangga paling bawah (tangga ke-15)  dalam liga domestik berbanding tujuh lagi pasukan yang layak.

Empat daripadanya kini mendahului liga masing-masing (Bayern Munich, Monaco, Real Madrid dan Juventus) manakala baki tiga pasukan lagiberada dalam kelompok empat teratas.
Jika diselak sejarah lama, bermula dari musim 2005/06, sehingga 2010/11, sebanyak 17 pasukan Inggeris berjaya layak sekurang-kurangnya ke saingan suku akhir. 

Namun, bermula musim 2011/12 hingga kini, hanya lima pasukan Inggeris berjaya lepas untuk ke suku akhir. Ya, suku akhir dan bukan separuh akhir mahupun final!

Kali terakhir pasukan Inggeris beraksi di pentas final dan muncul juara adalah Chelsea pada musim 2011/12.

Di mana silapnya pasukan Inggeris kini, sehingga terkapai-kapai di peringkat benua? 

Saban tahun, barisan jurulatih terbaik dunia datang ke EPL, namun mereka masih belum dapat mencipta formula untuk bangkit di pentas Eropah.

Bagi Pep Guardiola, ia merupakan kekalahan pertama dalam pusingan 16 UCL dalam sejarah karier beliau sebagai pengurus. Kebiasaannya, rekod paling teruk Pep adalah kalah dalam separuh akhir!

Pasukan dari La Liga dilihat mendominasi cabaran Liga Juara-Juara sejak lima musim lepas, dengan 15 pasukan melepasi peringkat suku akhir, diikuti Jerman (sembilan pasukan) dan Perancis (enam pasukan).

 
Media di Britain menyalahkan jadual liga yang ketat, selain tiada cuti musim sejuk antara punca utama mereka tersungkur awal dalam saingan UCL. 

Ya, media mereka susah untuk mengakui pasukan Inggeris semakin lama semakin ‘lemau’ di peringkat Eropah.

Dengan bola sepak China yang semakin merosakkan pasaran pemain di peringkat global, tarikan Liga Perdana Inggeris secara keseluruhannya bakal menurun secara berperingkat.

Mungkinkah zaman kegelapan EPL baru bermula? Jangan sampai pemain terbaik mereka lari ke Negara Tembok Besar untuk bermain bola sepak.