Menu Button

Kelantan ketuai lapan pasukan ke suku akhir

9/22/2013

Juara bertahan, Kelantan mengetuai senarai lapan pasukan yang mengesahkan slot ke suku akhir Watsons Piala Malaysia selepas berakhirnya saingan peringkat kumpulan, malam ini.

Mengiringi Kelantan dari kumpulan C ialah Pahang; Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sime Darby FC dari kumpulan A, Selangor PKNS FC dan Johor Darul Takzim (Johor DT) dari kumpulan B serta Sarawak dan Lions XII (kumpulan D).

Kemenangan 4-0 yang diraih Kelantan ke atas Pahang di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu membolehkan pasukan berkenaan muncul juara kumpulan C dengan pungutan 11 mata daripada enam perlawanan.

Empat gol Kelantan dijaringkan oleh Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-25 selain hatrik Dickson Nwakaeme pada minit ke-66, 82' dan 88'.

Kemaraan Pahang ke suku akhir pula dibantu dengan keputusan seri 2-2 yang dicatatkan Negeri Sembilan ke atas Terengganu di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Dua gol pasukan Negeri Sembilan dijaringkan oleh Fabio Leandro Barbosa (19') dan Mohd Nazrin Mohd Nawi (70') manakala gol pasukan pelawat dijaringkan oleh Jean-Emmanuel Effa Owona (17') dan Mohd Ashaari Shamsudin (87').

Keputusan seri 1-1 yang dicatat oleh dua pasukan dari kumpulan A, ATM dan Sime Darby FC di Stadium Majlis Perbandaran sudah memadai untuk mereka menempah slot ke suku akhir.

ATM terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Amiridzwan Taj Tajudin seawal minit ketiga sebelum Fahrul Razi Kamaruddin menyamakan kedudukan untuk Sime Darby FC pada minit ke-35.

Satu lagi perlawanan kumpulan A menyaksikan Selangor mencatat kemenangan pertama dalam Piala Malaysia menerusi kemenangan tipis 2-1 ke atas Johor FA di Stadium Shah Alam.

Dalam saingan kumpulan B, Selangor PKNS FC mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan selepas menundukkan Johor DT dengan kemenangan 2-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin menerusi jaringan Reeshafiq Alwi pada minit ke-17 dan Roman Chmelo pada minit ke-63.

Satu lagi aksi kumpulan B menyaksikan T-Team menewaskan Felda United, 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Ahmad Syamim Yahya menjaringkan dua gol untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-21 dan 61' manakala gol tunggal pasukan pelawat disumbangkan oleh Mohd Akmal Mohd Noor pada minit ke-80. 

Juara Liga Perdana, Sarawak pula muncul juara kumpulan D selepas membenam Perak, 6-1 di Stadium Negeri, Kuching.

Enam gol skuad 'Ngap Sayot' dijaringkan oleh Khairi Kiman pada minit kelima (gol sendiri), Bobby Gonzales (6'), Muamer Salibasic (44', 59' dan 72') dan Zamri Morshidi pada minit ke-57 manakala gol tunggal Perak dijaringkan oleh Yong Kuong Yong pada minit ke-23.

Mengiring mereka ke suku akhir ialah pasukan jemputan dari Singapura, Lions XII yang menundukkan Kedah, 3-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Tiga gol pasukan pelawat kendalian V. Sundramoorthy dijaringkan oleh Hariss Harun (24'), Baihakki Khaizan (38'), Muhammad Hafiz Abu Sujad (64') manakala gol tunggal Kedah dijaringkan oleh Alen Guc pada minit ke-44.

Perlawanan suku akhir akan diadakan secara timbal balik pada 26 dan 27 Sept ini.

Klik di sini untuk melanggan pakej sukan Astro, atau hubungi 1300 82 3838 sekarang!


Related Articles Most Popular