Kelantan terlebih dahulu menjaringkan gol di minit ke-37 perlawanan menerusi rembatan deras Mohd Nor Farhan Muhammad dari luar kotak penalti. Sementara Johor DT meraih gol hasil sepakan percuma pemain import dari Sepanyol Daniel Gonzales Guiza di minit ke-63.
Di awal permainan kedua-dua pasukan dilihat masih tercari-cari rentak permainan, bahkan kerap melakukan kesalahan dan kekasaran.
Johor DT mendapat sepakan percuma awal (M1) selepas Shakir Saari dipersalah mengkasari pemain lawan.
Sepanjang 15 minit pertama perlawanan, tiada gerakan menarik dan serangan merbahaya dilakukan kedua-dua pasukan. Permainan hanya berlegar di bahagian tengah padang.
Pun begitu, di minit ke-16 Safee Sali mencuri tumpuan apabila melakukan percubaan 'bicycle kick' selepas menerima hantaran tinggi daripada Simone Del Nero. Bagaimanapun, bola tersebut terkena pertahanan lawan sebelum Khairul Fahmi Che Mat tangkas menepis keluar.
Tempo perlawanan jelas semakin perlahan, biarpun pada awalnya ia pantas.
Di minit ke 25, Daudsu dilayangkan kad kuning apabila dia dipersalahkan menjatuhkan Nurul Azwan Roya. Ia sekaligus menghadiahkan sepakan percuma untuk Johor DT. Safiq Rahim yang mengambil sepakan percuma itu diselamatkan oleh Khairul Fahmi.
Tidak lama kemudian, Badri Radzi atau Piya mendapat peluang keemasan, namun rembatannya diselamat kemas oleh penjaga gol lawan, Mohd Zamir Selamat.
Del Nero yang kurang cergas untuk bermain dalam perlawanan ini dikeluarkan untuk digantikan dengan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak.
Di minit ke-37, Farhan menggamatkan Stadium Sultan Mohammed IV apabila penyerang itu merebat deras sambil berlari dari luar kotak penalti.
Kubu Johor DT semakin goyah. Di minit ke-42, Indra Putra Mahyudin melakukan hantaran menarik kepada Farhan, namun rembatan berjaya diselamatkan Zamir.
Sebaik babak kedua bermula, Kelantan tidak menunggu lama untuk melancarkan serangan. Di minit ke-49, Indra membuat percubaan deras yang sedikit tersasar selepas dia menyambung hantaran Farhan.
Melihat Johor DT dalam keadaan tertekan, jurulatih Fandi Ahmad, memasukan Guiza menggantikan Azwan Roya.
Di minit ke-56, hantaran Guiza tepat mencari Safee, tetapi Khairul Fahmi dilihat lebih bersedia untuk menangkap tandukan Safee.
Guiza menunjukkan kehebatannya di minit ke-63 apabila dia merebat deras kearah sudut kanan untuk menewaskan Khairul Fahmi, menerusi sepakan percuma. Johor DT dihadiahkan sepakan percuma itu selepas Shakir Shaari dipersalahkan menjatuhkan pemain lawan.
Keputusan berakhir dengan keputusan Kelantan 1 Johor DT 1.
Sementara itu Pasukan Pahang terus mengekalkan rekod bersih dalam saingan Liga Super selepas mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut mencatatkan kemenangan kedua musim ini selepas membelasah wakil kelab dari Terengganu, T-Team dengan keputusan 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Dalam aksi di Stadium Shah Alam, Selangor PKNS pula menamatkan kemarau kekalahan selepas mengalahkan kelab dari Singapura, Lions XII, 1-0.
Perak pula mencatatkan kekalahan kedua musim ini selepas kalah 0-1 kepada Felda United di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut.
Terdahulu pada perlawanan sebelah petang, Terengganu dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.