Oleh: Suzana Basri
Demikian luahan Kapten pasukan Kelantan, Badhri Radzi atau lebih senang dipanggil Piya sebagai respon kepada keengganan Datuk K. Rajagobal menyenaraikannya dalam senarai akhir 24 pemain skuad Harimau Malaya yang bakal memulakan cabaran kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar, 6 Februari ini.
Pastinya lebih memilukan Piya apabila Rajagobal tidak memberikan alasan kukuh dan memberitahu 2 bekas jurulatih Kelantan iaitu M. Karathu dan B. Sathianathan lebih tahu sebabnya.
Isu tiada peluang bersama skuad kebangsaan bukan baru buat Piya kerana musim lalu, persoalan sama turut ditimbulkan. Tahun ini, kelibat Piya sudah tentu ditagih selepas mempamer aksi cemerlang apabila membawa pasukan Kelantan menjulang kejuaraan treble musim lalu. Apatah lagi tatkala skuad Harimau Malaya bergelut masalah kecederaan para pemain.
Namun apa yang menarik perhatian saya, siapa sebenarnya pemain yang dianggap watak tengah terbaik Liga Malaysia 2012 ini?Piya yang lahir pada 2 Jun 1982 mewarisi bakat bermain bolasepak daripada ayahnya yang merupakan bekas pemain pasukan TNB Kelantan FC. Beliau mula menunjukkan minat mendalam dalam bolasepak sewaktu mewakili sekolahnya ketika berusia 12 tahun.
Penglibatan secara serius bermula apabila Piya terpilih menyarung jersi Kelantan pada 2002. Beliau selepas itu mengembangkan kariernya bersama TNB Kelantan, JPS Kelantan dan PDRM dimana beliau membantu pasukannya muncul juara Liga Perdana musim 2006-27, sebelum kembali bersama pasukan kesayangannya, Kelantan pada 2008.
Bersaiz kecil, Piya merupakan “playmaker” yang disegani pihak lawan. Kekuatannya adalah gerakan licik, mampu membaca gerakan lawan dan hantaran tepat. Paling menarik, kebanyakan jaringan dihasilkan melalui sepakan percumanya.
Namun perjalanan kariernya tidak semudah disangka. 2009 adalah tahun sukar apabila gagal membantu Kelantan menewaskan Selangor pada final Piala FA dan mengalami kecederaan patah kaki ketika bertemu Pulau Pinang pada saingan Piala Malaysia. Kecederaan berpanjangan ini menyebabkan beliau terlepas peluang bersama skuad kebangsaan pada 2010.
Kekecewaan ini ditebus Piya pada final Piala Malaysia 2010 menentang Negeri Sembilan apabila muncul wira menjaringkan gol kemenangan Kelantan, selepas kempunan 89 tahun.
Kejayaan ini juga membolehkan Piya meraih Anugerah Sukan 100 Plus dan turut membuka mata ramai pihak. Pada 2011, Piya dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan pada aksi dimana pasukan Liga Perdana Inggeris, Chelsea yang bertandang ke Malaysia menang 1-0.
Bercakap mengenai aksinya di peringkat antarabangsa, Piya sememangnya kurang pengalaman bersama pasukan kebangsaan namun Piya merupakan watak penting ketika Kelantan beraksi di Piala AFC pada 2012.
Pada 2012 juga Piya menggalas tanggungjawab selaku kapten pasukan dengan baik apabila membantu Kelantan menyapu hampir kesemua piala yang dipertandingkan musim itu iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Jadi tidak hairanlah Piya tersenarai sebagai Pemain Asia Terbaik Bulan Oktober 2012 di Goal.com. Para pembaca laman web ini juga mengundi Piya untuk disenarai dalam skuad kebangsaan Malaysia.
Namun itu undian orang ramai, Rajagobal nampaknya punya pandangan berbeza. Apa yang saya harapkan, 24 pemain yang diberikan slot dalam skuad kebangsaan baru-baru ini dapat menggunakannya sebaik mungkin. Tugas anda adalah menggalas impian kami peminat bolasepak Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2015 nanti.